* Article in Bahasa Malaysiapersiapan menghadapi peperiksaan

Sudah tidak lama lagi bagi anak-anak yang bakal menduduki peperiksaan awam untuk membuat persediaan terakhir. Pada ketika ini, tentu hati anak-anak seakan berdegup laju dan gemuruh menunggu hari-hari yang menentukan masa depan kalian. Percayalah gemuruh itu membawa kebaikan jika ditanganinya dengan sebaiknya.

Ketika kita sudah tidak lagi jauh dari tarikh peperiksaan, apakah persediaan yang penting untuk memastikan kita memasuki dewan peperiksaan dengan tenang dan membawa keyakinan yang tinggi.

1. Memilih kawan yang sesuai
Di saat ini sangatlah kritikal untuk memiliki kawan yang sesuai dengan persediaan kita menduduki peperiksaan. Kawan yang sesuai adalah kawan yang memahami bahawa kita dalam persediaan menghadapi peperiksaan, maka dia tidak membawa kita kepada kelalaian, membuang masa dan tidak juga mengusik hati kita. Kawan yang baik juga akan membantu kita memberikan keadaan yang selesa dalam pembelajaran dan membantu bila perlu.

2. Mengutamakan nota pendek
Telah kita belajar sekian lama maka tidak punya masa lagi untuk mengulangkaji dengan membaca seluruh buku teks tetapi nota-nota ringkas adalah bantuan terakhir bagi mengingat kembali segala apa yang kita pelajari. Peta minda mudah membantu dalam mengulangkaji ini.

3. Masa untuk meluahkan apa dipelajari.
Ada kalanya kita memahami apa kita pelajari tetapi sukar untuk menyampaikannya kembali dalam bentuk jawapan. Maka dsyorkan bahawa di saat akhir ini adalah penting untuk kita berlatih bercerita dan menulis kembali apa yang kita fahami dan pelari. Cara lain adalah dengan menjawap soalan-soalan tahun-tahun lepas dan soalan contoh agar kita terbiasa dengan mengeluarkan segala ingatan dan fahaman kita. Ingatlah peperiksaan adalah medan untuk meluahkan segala apa kita pelajari.

4. Menjaga Hubungan Dengan Manusia dan Alam
Menjauhkan diri dari melalukan kezaliman terhadap orang lain, haiwan dan alam. Jadilah manusia yang baik mulai dari hari ini. Semoga dengan kebaikan kita lakukan, maka kebaikan juga kita perolehi. Termasuklah kita tidak mencela orang lain terutamanya para guru kita. Hubungan dengan ibu bapa teramat penting untuk dijaga. Perbaikilah hubungan kita sesama manusia dan alam agar kita memperoleh keyakinan yang terbaik kerana manusia yang memiliki rasa salah pada orang lain dan manusia yang tidak disukai oleh orang lain adalah manusia yang sering memiliki keyakinan yang lemah dan low-esteem.

5. Rehat yang Mencukupi
Ada para pelajar yang sangat berusaha hingga ke saat-saat terakhir tanpa menghiraukan kesihatannya. Otak memerlukan tenaga yang cukup untuk berfikir dan mengingati segala memori. Maka, wajar untuk tidak terlalu membebankan badan di hari-hari menghampiri peperiksaan. Dapatkah tidur dan rehat yang cukup. Jika bersedia, hanya ambil satu atau dua jam sahaja pada malam peperiksaan untuk menelaah kembali dan terus rehat. Berehat tidak bermaksud berhibur. Rehat yang cukup juga tidak bererti mengambil pil-pil untuk berjaga dan memberi tenaga. Ini sangat tidak digalakan kerana pil-pil seumpama ini boleh melemahkan keupayaan minda.

6. Mengelak Kecelakaan dan Menjaga Kesihatan
Elak mengambil masa di luar rumah atau di jalanan terlalu lama. Ini dapat mengurangkan risiko mendapat kecelakaan. Berdoa agar Allah memberi kebaikan pada kamu. Makanlah dengan makanan yang seimbang dan sihat. Sayur-sayuran dan buah-buahan adalah amat penting bagi memberi vitamin yang cukup ke otak. Kismis dan madu adalah amalan kesihatan yang baik. Jika kesihatan terganggu, jangan membuang masa dan terus berjumpa doktor untuk mendapatkan rawatan.

7. Memohon Guru Halalkan Ilmu
Melangkahlah ke dewan peperiksaan dengan ilmu yang dihalalkan oleh para guru. Jangan lupa kita juga punya guru iaitu kawan-kawan yang mengajar kita. Mohonlah mereka halalkan ilmu yang mereka ajari kita. Semoga dengan cara ini, kita peroleh doa dari mereka dan keyakinan kita bertambah.

8. Doa & Qiamulail
Jangan tunggu sekolah untuk menganjurkan malam qiamulail dan majlis bacaan yaasin untuk mula berdoa. Malah seharusnya kita sebagai pelajar harus selalu bijak untuk mengatur jadual dan pilihlah malam yang sesuai untuk qiamulail dan berdoa hajat pada Allah. Jangan jemu berdoa kerana Allah sangat gemar hambanya yang berdoa padaNya. Bertaubatlah dengan segala kesalahan yang kita lakukan. InsyaAllah dengan pembersihan jiwa sebegini, kita menjadi seorang yang lebih berkeyakinan.

9. Sedekah
Keluarkanlah sekadar termampu sedekah. Jadikanlah ini amalan dan rancanglah kewangan kamu. Meskipun kamu masih bergantung pada wang pemberian ayah dan ibu, tidak bermaksud kamu tidak boleh bersedekah. Mungkin hanya sebiji gula-gula atau seteguk air, itu sudah mencukupi sekadar sedekah yang termampu terutamanya pada hari peperiksaan. Ini kerana Allah memberi kebaikan kepada mereka yang bersedekah. Semoga salah satu kebaikan itu adalah kemudahan dalam menjawap soalan dan memperoleh kejayaan.

10. Restu Ayah dan Ibu
Terakhir dan terpenting adalah mendapatkan restu ayah dan ibu. Jangan melangkah ke dewan peperiksaan tanpa restu ayah dan ibu. Salam dan ciumlah tangan mereka setiap hari ke dewan peperiksaan. Bagi mereka yang berjauhan, telefonlah kepada ayah dan ibu sebelum hari peperiksaan. Ucapkanlah pada ayah dan ibu “doakan saya, restukan saya.”

Insya-Allah, sama-sama kita doakan kita berjaya dalam peperiksaan dan menjadi umat yang berilmu serta beramal dengan ilmu yang bermanfaat.